Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 Mac. - Alumni Penuntut-penuntut Asrama Kerajaan Brunei di Singapura (AKSB) pagi tadi telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma kepada anak-anak yatim dan anak-anak daripada golongan keluarga daif yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir pada majlis berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, serta salah seorang Alumni AKSB, Dato Seri Setia Awang Haji Yusof bin Haji Ismail selaku tetamu-tetamu kehormat.
Pada majlis berkenaan, seramai 68 anak yatim dan 33 anak daripada keluarga daif telah menerima sumbangan yang diharapkan akan dapat membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam membuat persiapan pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Haji Md. Lazim bin Haji Metali, Alumni AKSB 1966, yang seterusnya memimpin bacaan tahlil.
Penganjuran majlis tahunan berkenaan merupakan antara usaha kebajikan yang berterusan oleh Alumni AKSB dalam menunaikan tanggungjawab sosial bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan.
Selain itu, majlis berkenaan juga menjadi platform bagi menghimpunkan semula para alumni pelajar-pelajar AKSB yang suatu ketika dahulu pernah menuntut ilmu bersama di Republik Singapura, sekali gus mengeratkan lagi silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mereka.